Program Motivasi dan Pembangunan Kendiri yang julung kalinya telah diadakan buat pelajar Tajaan SBK YTH yang diadakan pada 28 Februari 2020 hingga 1 Mac 2020 (3 hari 2 malam) bertempat di Kingfisher Adventures Eco Resort, Hulu Langat. Program ini bertemakan “Eratkan Ukhwah, Jalinkan Kemesraan Bagi Pembentukan Pelajar Berkualiti”.
Program yang dijalankan mengikut format kursus selama 3 hari 2 malam ini bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim di antara pelajar dan YTH selaku penaja pengajian pelajar dan dalam masa yang sama untuk memberikan motivasi serta meningkatkan semangat pelajar yang dalam sedang menempuh alam pembelajaran di Menara Gading.
Selain itu, objektif program ini juga adalah untuk melahirkan generasi pelapis pemimpin dari kalangan pelajar yang mempunyai kesedaran dan semangat kendiri yang tinggi serta berinovasi untuk menyumbang ke arah kecemerlangan pembangunan negara secara lebih menyeluruh. Di samping itu, konsep jatidiri dalam membina minda dan kompetensi cemerlang di kalangan para pelajar ini akan diterapkan dalam modul-modul tertentu bagi memastikan kesinambungan generasi Profesional Mukmin masa akan datang.